CHANGLUN, 26 Ogos – Isu buli di asrama sekolah yang berulang saban tahun hingga mengorbankan nyawa pelajar mencetuskan cadangan agar diwujudkan jawatan khusus Pengetua Tetap Asrama dan Pekerja Sosial Sekolah bagi memperkukuh pengurusan pelajar secara lebih profesional dan berkesan.
Bekas Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Noor Azman Yusof, berkata sudah tiba masanya kerajaan meneliti cadangan itu kerana kebanyakan pengurusan asrama kini dikendalikan oleh pentadbir secara sambilan, sedangkan tugas tersebut memerlukan perhatian sepenuhnya.
“Pengurusan asrama bukan sekadar tugasan tambahan. Ia memerlukan pengetua khusus yang benar-benar mengenali pelajar, memahami tingkah laku mereka dan mampu menangani permasalahan dengan pendekatan yang tepat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengetua Inapan Siswa UUM, yang juga Pengetua Inapan Siswa Tenaga Nasional Berhad (TNB) UUM, Prof Madya Dr Rohani Abdullah, berkongsi pengalaman bahawa pengurusan asrama yang diurus secara profesional mampu melahirkan pelajar yang lebih berdisiplin serta berjaya.
Menurut beliau, penglibatan pelajar lama, pelajar baharu dan mereka yang memegang jawatan kepimpinan dalam Jawatankuasa Kepimpinan Pelajar Siswa di kolej kediaman telah membuktikan wujudnya semangat kerjasama serta persefahaman yang baik dalam kalangan penghuni.