fb fb fb fb fb

Isu boikot: Teliti isu bersama pihak berkaitan sebelum ambil tindakan- Menteri Agama

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 4 Mei- Isu boikot membabitkan syarikat makanan segera dan kedai serbaneka terkemuka lebih bersifat individu serta memerlukan penyelesaian sewajarnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar berkata, pihaknya akan meneliti isu terbabit bersama pihak berkaitan sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Isu boikot ini pilihan individu dan kita menghormati pandangan Mufti Perak dan insya-Allah kita akan teliti.

"Semalam saya ada sebut kepada pihak Institut Kefahaman Malaysia (IKIM) untuk meneliti pandangan tersebut dan lihat daripada semua sudut. Isu berkaitan boikot ini adalah pilihan individu. Jadi, ada pandangan-pandangan yang berbeza,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Mufti Perak Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh berhubung tindakan boikot terhadap rangkaian kedai serbaneka KK Mart, bertentangan dengan ajaran dan tindakan Rasulullah serta melanggar prinsip keadilan Islam.

Jelasnya, tindakan boikot terbukti memberi impak besar kepada mereka yang terkesan dan memerlukan penyelesaian terbaik secara bersama.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE