KUALA LUMPUR, 23 Februari- Kerajaan akan membuat keputusan mengenai isu beras selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), petang ini.
Selain beras, perbincangan mengenai inisiatif penjualan ikan, sayur dan daging yang murah juga akan dilaksanakan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengumuman berkenaan harga beras perlu diumumkan oleh kerajaan walaupun terdapat cadangan daripada pelbagai pihak.
"Masalahnya, jangan bincang isu beras sahaja kerana inisiatif yang dibuat itu menjual ikan, ayam, daging sayur harga yang lebih murah.
"Jadi pengumuman harga tentang beras mestilah pengumuman kerajaan, kalau ada cadangan-cadangan tersendiri, ini negara demokrasi, boleh. Tetapi tidak merupakan keputusan kerajaan", katanya kepada media selepas merasmikan Tun Razak Exchange sebagai hab kewangan antarabangsa Malaysia di sini, hari ini.
Terdahulu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan kerajaan belum membuat ketetapan untuk mewujudkan satu gred beras putih sahaja di negara ini.