fb fb fb fb fb

Isu beras: Bekalan BPT di Selangor akan mula stabil bulan depan

KUALA LUMPUR, 21 September- Keperluan Beras Putih Tempatan (BPT) di negeri Selangor mencukupi sehingga penghujung bulan ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bekalan BPT akan mula stabil bermula Oktober dengan pengeluaran semula padi di utara Semenanjung Malaysia dan negeri Selangor mula dituai.

"Tambahan kepada langkah kawalan harga siling penjualan BPT oleh pihak Persekutuan, Kerajaan Selangor akan melaksanakan penjualan beras lima kilogram dengan harga RM13 bagi manfaat rakyat negeri Selangor.

"Jualan ini akan dilaksana melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangor (PKPS) di empat outlet PKPS, serta tiga lokasi jualan bergerak pada setiap hari sehingga Disember 2023," katanya dalam kenyataan.

Kerajaan Negeri juga telah menubuhkan Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Selangor (KSPDS) bagi perkara berhubung kekurangan stok di kedai dan pasaran.

Sebarang masalah bekalan, rakyat Selangor diminta menghubungi KSPDS di talian 03-32898419 atau 017-2230771 untuk bercakap secara terus ataupun melalui aplikasi WhatsApp.

Kerajaan negeri melalui KSPDS komited untuk mengambil tindakan dalam tempoh masa 24 jam bagi mengatasi aduan bekalan BPT.

(Amirudin Shari)

Media Baharu