TUARAN, 20 Januari - Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Kementerian Kerja Raya diarah berbincang mencari kaedah terbaik bagi menyelesaikan isu bekalan air di Sabah.
Ini terutama melibatkan projek Loji Rawatan Air (LRA) Telibong Fasa Dua, di sini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perbincangan perlu diadakan dalam tempoh dua minggu bersama agensi berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Air Negeri Sabah.
"Duduk berbincang bagaimana kita mencari penyelesaian untuk kita selesaikan terutamanya untuk aliran paip air jadi disebabkan projek ini akan memerlukan peruntukan tambahan dan daripada dua minggu itu nanti bila ada penyelesaiannya dengan siapnya anggaran kos dan sebagainya untuk kita angkat balik kepada kerajaan persekutuan sebab projek ini adalah melalui pinjaman jadi kita kena berbincang bagaimana kita mencari dana tambahan," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai perkembangan projek LRA Telibong Fasa Dua, di sini.
Tambah Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, secara keseluruhan projek LRA Telibong Fasa Dua, yang sedang berjalan ketika ini, sudah lebih 70 peratus siap.