KUALA LUMPUR, 29 Oktober- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil keterangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria, berhubung hantaran yang didakwa bersifat palsu yang dimuat naik di akaun Facebook beliau.
Hantaran tersebut melibatkan beberapa isu sensitif berbaur perkauman, termasuk isu kibaran bendera negara asing.
MCMC dalam satu kenyataan menyatakan bahawa pihaknya telah mengeluarkan notis kepada beliau sebelum ini untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang melarang pembuatan dan penghantaran komen atau komunikasi yang mengancam, lucah, atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.
"Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, pasukan penguat kuasa MCMC telah mengambil keterangan pentadbir akaun Facebook berkenaan serta menyita satu unit telefon bimbit dan satu unit kad sim milik pentadbir tersebut bagi membantu siasatan.