KUALA LUMPUR, 10 Julai - Kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menyiasat atau mengambil tindakan ke atas pihak yang membuat kenyataan yang menyentuh isu kaum, agama dan raja (3R).
Bagaimanapun Kementerian Komunikasi dan Digital, menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multmedia (MCMC) akan terus memantau unsur 3R terutama di platform media sosial.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata pihaknya juga bekerjasama dengan syarikat platform media sosial bagi memantau situasi semasa terutama menjelang Pilihan Raya Umum, Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRU DUN ke-15).
“Sesi libat urus bersama pengendali platform media sosial adalah untuk memberi kefahaman mengenai undang-undang di Malaysia. Kita sudah lakukan dengan Telegram dan Meta. Pihak Polis ada tangunggjawab penuh untuk menyiasat unsur 3R mengikut lunas undang-undang," katanya dalam sidang media selepas melancarkan naskhah 'Horizon' terbitan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), di sini.
Tambah Fahmi, baru-baru ini pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan pengendali laman sosial, Telegram dan Meta dan keduanya mengambil maklum mengenai skop perundangan berkenaan penyebaran maklumat berunsur 3R.