KUALA LUMPUR, 3 Januari - Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hari ini meluangkan masa menziarahi keluarga dua beradik mangsa letupan bunga api di bahagian bumbung sebuah hotel di Port Dickson, Negeri Sembilan pada Isnin.
Dr. Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak menyampaikan sumbangan wang tunai kepada waris Muhd Helmi Zulkifli yang maut dan adiknya yang cedera, Muhammad Pahzdlei Zulkifli.
"Kebetulan dia (Muhd Helmi) adalah pekerja sambilan dengan adik dia (Muhammad Pahzdlei). Adik dia memang terkena melecur sebab apa yang berlaku. Sekarang ini dia (Muhammad Pahzdlei) trauma dan tidak balik ke rumah dan mahu hilangkan trauma yang dialami.
“Kita akan tolong apa yang boleh. (Selain sumbangan wang tunai), kita juga beri bantuan makanan untuk ahli keluarga mangsa selain akan cuba permudahkan urusan persekolahan anak-anak (mangsa) kerana dia (mangsa) adalah pencari nafkah yang utama,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga mangsa di Pangsapuri Seri Perindu, Cheras, di sini.
Sumbangan diserahkan kepada ibu mangsa, Milikiyah Fajar.
Dalam pada itu, Dr. Wan Azizah berkata Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kini sedang melakukan siasatan lanjut untuk memberi bantuan faedah pencen penakat dan faedah pengurusan jenazah kepada keluarga tersebut.
Pada insiden Isnin lepas, Muhd Helmi Zulkifli, 40, maut manakala adiknya, Muhammad Pahzdlei Zulkifli, 39, cedera akibat terkena serpihan bunga api yang meletup di bahagian bumbung bangunan tempat letak kenderaan sebuah hotel di Port Dickson.