fb fb fb fb fb

Israel perhebat serangan, sekurang-kurangnya 91 lagi rakyat Palestin terkorban

Serangan Israel di Khan Yunis/ REUTERS

GAZA, 21 Mac- Sekurang-kurangnya 91 rakyat Palestin terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam serangan udara di seluruh Gaza pada Khamis selepas Israel menyambung semula pengeboman dan operasi darat, menurut Kementerian Kesihatan.

Serangan Israel itu menghentikan gencatan senjata yang berlangsung dalam tempoh dua bulan.

Selepas dua bulan yang agak tenang, rakyat Gaza sekali lagi melarikan diri untuk menyelamatkan nyawa selepas Israel memperhebatkan serangan terhadap pejuang Hamas sekali gus mencabuli perjanjian gencatan senjata.

Pesawat Israel menggugurkan risalah di kawasan perumahan, mengarahkan orang ramai keluar dari bandar Beit Lahiya dan Beit Hanoun di utara, daerah Shejaia di Bandar Gaza dan bandar di pinggir timur Khan Yunis di selatan.

Sehari selepas menghantar kereta kebal ke tengah Gaza, tentera Israel memaklumkan telah mula menjalankan operasi darat di utara wilayah yang padat dengan penduduk, di sepanjang laluan pantai di Beit Lahiya.

Hamas yang tidak bertindak balas dalam tempoh 48 jam pertama serangan Israel, berkata pejuangnya telah melancarkan roket ke Israel.

Serangan Israel menyasarkan beberapa rumah di bahagian utara dan selatan Gaza.

Sementara itu, serangan Israel pada Selasa lalu mengorbankan lebih 400 nyawa rakyat Palestin dan menjadi hari yang paling berdarah dalam konflik yang berterusan selama 17 bulan.

Serangan Israel pada minggu ini turut membunuh beberapa tokoh tertingginya termasuk ketua kerajaan de facto Gaza yang dilantik Hamas, Ketua Perkhidmatan Keselamatan, pembantunya dan Timbalan Ketua Kementerian Kehakiman kendalian Hamas.-REUTERS

ROSLINA BINTI DIN