fb fb fb fb fb

Israel langgar prinsip kemanusiaan, sasar petugas MAPIM di Gaza

Mohd Na'im menyifatkan pembunuhan lapan petugas kemanusiaan MAPIM (kiri) di Gaza oleh Israel sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan serta jelas melanggar prinsip asas kemanusiaan

KUALA LUMPUR, 18 Mac- Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengutuk sekeras-kerasnya serangan rejim Israel yang mengorbankan lapan petugas kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di utara Gaza pada Sabtu lepas.

Menterinya Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyifatkan tindakan itu sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan serta jelas melanggar prinsip asas kemanusiaan.

"Tindakan ini merupakan pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva yang secara jelas melindungi petugas kemanusiaan dalam zon peperangan.

"Serangan terhadap mereka yang berusaha menyalurkan bantuan kemanusiaan adalah jenayah yang tidak boleh diterima oleh dunia bertamadun," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau menegaskan agensi bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan terus membantu Palestin sambil menekankan bahawa dunia tidak boleh berdiam diri terhadap kezaliman berterusan yang hanya menambah penderitaan rakyat Palestin.

Dalam pada itu, Mohd Na’im menyeru rakyat Malaysia agar terus beristiqamah membaca Qunut Nazilah sebagai solidariti terhadap rakyat Palestin dan mengutuk kezaliman yang dilakukan rejim Israel.

"Marilah kita bersama-sama mendoakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat Palestin serta terus menyokong usaha kemanusiaan bagi membantu mereka," katanya.

Mohd Na’im turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan menzahirkan solidariti terhadap semua petugas kemanusiaan yang berjuang membantu rakyat Palestin di Gaza.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA