fb fb fb fb fb

Ismail Sabri bertemu Biden

(Ismail Sabri/FOTO BERNAMA)

WASHINGTON D.C, 13 Mei- Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyertai pemimpin Asean lain di White House, di sini, menghadiri jemputan Majlis Makan Malam Presiden Joe Biden pada Khamis (Jumaat di Malaysia).

Presiden Biden mengadakan pertemuan dengan para pemimpin ASEAN untuk Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS selama dua hari bermula Khamis, sempena sidang kemuncak itu yang diadakan untuk kali kedua sejak 2016.

Setibanya di White House, ke semua pemimpin berkumpul untuk sesi bergambar berkumpulan di perkarangan bangunan berkenaan.

Mereka kemudiannya menghadiri majlis makan malam yang dihoskan Presiden Biden di White House.

Sidang kemuncak khas dengan pemimpin negara Asia Tenggara itu kali kedua dianjurkan oleh Presiden AS.

Pada Februari 2016, Presiden ketika itu, Barack Obama mengalu-alukan pemimpin ASEAN di Sunnylands, California.

Pemimpin ASEAN lain yang menghadiri pertemuan kali ini ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Presiden Indonesia Joko Widodo, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Perdana Menteri Kemboja Hun Sen.

 

(Ismail Sabri bertemu Presiden AS, Joe Biden di White House/FOTO BERNAMA)

Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-Cha, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh dan Perdana Menteri Laos Dr Phankham Viphavanh juga menghadirinya.

Sidang kemuncak khas kali ini seiring ulang tahun ke-45 hubungan dialog ASEAN dan Amerika Syarikat.

Esok, ke semua pemimpin akan mengadakan perbincangan dengan Presiden Biden dan Naib Presiden Kamala Harris di Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Mereka dijangka mengetengahkan perkara berkepentingan di rantau Asia Tenggara melibatkan soal perdagangan, ekonomi dan teknologi.

Kenyataan Wawasan Bersama yang akan dikeluarkan pada akhir persidangan bakal menekankan komitmen dan aspirasi untuk meningkatkan perkongsian ASEAN-Amerika Syarikat.

Media Baharu