fb fb fb fb fb

Iran berhasrat adakan MoU dalam bidang pertanian

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR, 10 Julai - Iran berhasrat menjalinkan kerjasama dengan Malaysia menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pertanian dan telah menghantar draf pertama kepada pihak kementerian.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dalam hantaran di Facebook berkata, beliau amat yakin dan percaya bahawa MoU itu akan menyediakan asas yang kukuh untuk meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan Iran dalam bidang berkenaan.

"Saya amat gembira menantikan kerjasama ini terhasil kerana manfaat yang cukup besar akan dapat diberikan kepada kedua-dua negara," katanya.

Mohamad berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara itu semasa menerima kunjungan hormat Duta Besar Republik Islam Iran ke Malaysia Valiollah Mohammadi Nasrabadi dan delegasinya di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang, di sini.

Katanya, pada pertemuan berkenaan, beliau turut memaklumkan kepada Nasrabadi bahawa pihak kementerian melalui Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) masih menunggu maklum balas positif daripada pihak Iran untuk kelulusan mengimport ayam Arian.

Beliau turut memohon kerjasama Nasrabadi untuk memudahkan urusan berkenaan.

Dalam pada itu, Mohamad menzahirkan ucapan tahniah kepada Presiden Republik Islam Iran Dr Masoud Pezeshkian atas kemenanganya pada pilihan raya baru-baru ini.

"Saya percaya hubungan erat yang sedia ada antara kedua-dua negara akan diteruskan di bawah kerajaan baharu ini," katanya.

Selain itu, beliau turut menjemput Nasrabadi dan delegasinya untuk menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024 yang akan berlangsung di Serdang, Selangor pada 11 hingga 22 September ini.

TETITIA YUSOFF