IPTA diberi kuasa laksanakan PdPR susulan cuaca panas

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir/BERNAMA

KUALA NERUS, 30 Mac – Fenomena cuaca panas melanda negara ketika ini mendorong Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) untuk mengambil pendekatan lebih fleksibel dalam memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar terus terpelihara.

RINGKASAN BERITA AI
  • IPTA diberi kuasa tentukan pembelajaran bersemuka atau dalam talian mengikut keadaan semasa kampus.
  • Universiti dibenarkan ambil langkah perlu untuk atasi kemarau, banjir dan keadaan kecemasan lain.
  • Pendekatan fleksibel pernah dilaksanakan semasa banjir dan pandemik bagi memastikan pembelajaran berterusan.
  • Semua IPTA diarahkan laksanakan penjimatan tenaga elektrik dan semakan penggunaan di universiti, politeknik serta kolej komuniti.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, berkata universiti diberikan kuasa untuk menentukan kaedah pembelajaran sama ada secara bersemuka atau dalam talian (PdPR) bergantung kepada keadaan semasa kampus masing-masing.

“Dari segi keputusan, kita tidak menghalang mana-mana universiti untuk mengambil langkah-langkah perlu untuk mengatasi masalah kemarau, masih juga kalau sekiranya ada banjir dan sebagainya.

“Pendekatan yang dibuat oleh universiti mereka lebih anjal sifatnya,” jelas beliau selepas menghadiri program Sembang Santai Bersama Mahasiswa di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Beliau menambah, pendekatan fleksibel berkenaan bukan baharu dan pernah dilaksanakan sebelum ini, termasuk ketika musim banjir dan pandemik, bagi memastikan kelangsungan pembelajaran pelajar tidak terganggu.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa semua IPTA turut diarahkan melaksanakan langkah penjimatan tenaga elektrik secara menyeluruh, selaras dengan usaha kerajaan meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga.

Tambah beliau, langkah tersebut melibatkan semakan penggunaan elektrik di universiti,
politeknik serta kolej komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi.