KUALA LUMPUR, 2 September – Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) menganjurkan Persidangan AI Grand Prix 2025 bertemakan “Memacu Kecerdasan, Kepimpinan Masa Depan” pada 2 hingga 3 September 2025.
Persidangan ini menjadi platform strategik yang menghimpunkan tokoh akademik, pakar industri, penggiat kreatif dan penggubal dasar bagi membincangkan peranan Kecerdasan Buatan (AI) dalam membentuk landskap komunikasi, media serta kepimpinan digital negara.
Pengarah IPPTAR, Roslan Ariffin, berkata persidangan ini berfungsi sebagai ruang perkongsian ilmu selain menjadi jambatan kerjasama antara sektor kerajaan, swasta dan masyarakat awam untuk memperkukuh daya saing negara dalam era transformasi digital.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, yang turut menyertai sesi khas “Let’s Talk” bersama para peserta.
Sesi dialog tersebut menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes, yang berkongsi pandangan tentang peranan teknologi dan kepimpinan digital dalam mengubah ekosistem perniagaan serta memberi inspirasi kepada generasi muda untuk terus berdaya saing.
Persidangan ini turut menekankan sesi interaktif dengan enam bengkel utama merangkumi Virtual Production, Keselamatan Siber, Animasi dan Penjenamaan Korporat.
Selain itu, lebih 14 penceramah berprofil tinggi dijemput berkongsi pengalaman termasuk Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman, Pengarah Urusan NETSEC, Datuk Shafik Rizaal Saaban, Pengarah Filem, Datuk Zulkifli M. Osman, serta wakil Google Singapura, Adeel Farhan.
Penganjuran kali ini juga dimeriahkan dengan pameran teknologi kreatif yang disertai lebih 10 organisasi termasuk FINAS, Lekir Tech, Aikon Lab, Vokab AI, Warong AI dan Persatuan Kreatif AI Malaysia (PEKA).
IPPTAR dalam kenyataannya menegaskan bahawa persidangan ini merupakan bukti komitmen untuk memacu pembangunan modal insan, memperkukuh industri kreatif, penyiaran serta menyokong transformasi digital negara, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.