fb fb fb fb fb

IPPTAR anjur bengkel bertaraf antarabangsa, beri pemahaman jelas teknologi AI

Pengarah IPPTAR, Encik Roslan Ariffin

ANGKASAPURI, 1 September - Bengkel Pra-Sidang bertemakan kecerdasan buatan (AI) dalam Penyiaran & Produksi Televisyen raih penyertaan 50 wakil daripada lebih 15 negara terdiri daripada pelbagai organisasi terkemuka dalam bidang media dan penyiaran.

Bengkel anjuran Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) bersama-sama rakan strategiknya Institut Pembangunan Penyiaran Asia-Pasifik (AIBD) berjalan serentak dengan enam lagi bengkel pra-sidang lain di IPPTAR selama dua hari, dengan penyertaan 200 peserta.

Pengarah IPPTAR, Encik Roslan Ariffin optimis, bengkel bertaraf antarabangsa itu dapat memberi pemahaman lebih jelas tentang penggunaan teknologi AI sebagai medium mempertingkat tahap kecekapan dalam semua bidang pekerjaan yang boleh meningkatkan produktiviti negara secara keseluruhannya.

"Bukan sahaja penyertaan daripada dalam negara tetapi kita juga menjemput daripada luar negara, daripada negara-negara Asia Pasifik.

"Jadi kita harapkan dalam tempoh dua hari ini bengkel ini dapat diadakan secara berkesan melibatkan pelbagai pakar-pakar AI daripada seluruh dunia yang di sini kita akan berbincang, bertukar pandangan dan mendapatkan yang terkinilah mengenai industri AI ini," kata Roslan, di sini.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan bengkel berkenaan di Dewan Cendekiawan, IPPTAR.

Di samping menjadi platform pertukaran maklumat, pengetahuan dan kepakaran untuk mengintegrasikan AI dalam penyiaran dan produksi televisyen, bengkel dua hari tersebut dianjurkan sempena Asia Media Summit (AMS) ke-19 yang berlangsung bermula 1 hingga 5 September ini.

AMS merupakan persidangan media antarabangsa yang berprestij, menarik kehadiran lebih 500 peserta yang terdiri daripada penyiar, media tempatan dan antarabangsa, profesional industri, ahli akademik serta pemegang taruh daripada dalam dan luar negara.

TETITIA YUSOFF