fb fb fb fb fb

Ipoh lokasi kedua program 'I Lite You'

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming/BERNAMA

IPOH, 2 November- Ipoh diumumkan sebagai lokasi kedua pelaksanaan program “I Lite You” selepas Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
 
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata inisiatif berkenaan dilancarkan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) bagi menambah daya tarikan pelancongan di bandar raya itu.
 
Program tersebut membabitkan peruntukan RM2 juta, masing-masing RM1 juta disumbangkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

"Ini adalah program Pencahayaan Semula Bandaraya Ipoh kerana Ipoh kini merupakan antara destinasi pelancongan domestik yang sangat popular. Tahun lepas, kita berjaya menarik hampir 10 juta pelancong domestik dan juga antarabangsa, sekali gus menjadikan Ipoh di tempat pertama dari segi tarikan pelancongan domestik," kata Kor Ming kepada pemberita, hari ini.
 
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Padang MADANI Taman Boon Bak, di sini.
 
Pada majlis sama, Kor Ming turut mengumumkan peruntukan RM9 juta di bawah program Sentuhan Kasih KPKT bagi membina Pasar Baharu Pasir Putih, yang musnah dalam kebakaran tahun lalu.
 
Pasar moden itu dijangka siap pada tahun 2027 dan mampu menempatkan 101 peniaga, sekali gus menjadi mercu tanda baharu kepada pembangunan komuniti setempat dan ekonomi tempatan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM