Integriti penjawat awam penting untuk kelancaran projek negeri

Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN, 22 Januari – Integriti penjawat awam negeri bukan sekadar nilai moral, sebaliknya syarat mutlak bagi memastikan kelancaran projek infrastruktur serta kualiti perkhidmatan. Ia juga menjadi asas utama kepada keberkesanan pentadbiran dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan negeri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Integriti penjawat awam adalah syarat mutlak untuk memastikan kelancaran projek infrastruktur dan kualiti perkhidmatan.
  • Tindakan tegas terhadap penyelewengan dan rasuah diperlukan untuk melindungi pelaksanaan projek dan kepercayaan rakyat.
  • Projek pembaharuan Dewan Seri Pinang dibiayai geran persekutuan dan dijangka bermula akhir tahun selepas tender dipanggil.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, penjawat awam perlu melaksanakan tugas dengan amanah dan berintegriti bagi memastikan setiap dasar serta projek dilaksanakan mengikut jadual dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Penyelewengan kuasa korupsi adalah satu kegiatan jenayah yang akan dihukum dengan seberat-beratnya. Ini penting bagi memastikan amalan korupsi tidak menjejaskan pelaksanaan projek dan memastikan kita jujur dalam menegakkan integriti perkhidmatan demi rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri perhimpunan penjawat awam negeri 2026 di Dewan Sri Pinang, Lebuh Light di sini.

Tahun lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menerima enam laporan cubaan rasuah melibatkan penjawat awam. Daripada jumlah itu, beberapa tangkapan telah dibuat dan masih dalam proses dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Chow turut memberitahu bahawa projek pembaharuan Dewan Seri Pinang adalah usaha penting kerajaan negeri bagi memastikan fasiliti rasmi terus moden dan selesa digunakan.

Projek renovasi besar pertama selepas 50 tahun, dijangka siap dalam tempoh kira-kira dua tahun dan kos projek kini ditanggung sepenuhnya melalui geran persekutuan sebanyak RM52 juta dan pelaksanaannya akan dikendalikan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

“Kerajaan Persekutuan telah menukar pinjaman itu kepada geran, jadi kita tidak perlu meminjam dan membayarnya. Saya berharap tender dapat dipanggil pada bulan Julai ini dan projek dijangka bermula pada suku terakhir tahun ini,” katanya.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan