fb fb fb fb fb

Integriti dalam kalangan anggota JKDM perlu diperkukuh, jaga nama baik jabatan

Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia ke-43 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC)

PUTRAJAYA, 10 Februari- Nilai integriti dalam kalangan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) perlu terus diperkukuh selain terus menjaga nama baik jabatan. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu seiring dengan matlamat kerajaan yang tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang amalan pelanggaran amanah.

"Saya menyeru agar JKDM terus memperkukuh nilai integriti dalam kalangan pegawai kerana matlamat kerajaan ini jelas. Amalan rasuah dan pencabulan terhadap usaha mengangkat darjat negara akan ditangani dengan tindakan tegas, tanpa mengira individu yang terlibat.

"Jangan sesekali mencemarkan nama baik jabatan dan merobohkan kepercayaan rakyat kepada kita," katanya.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dalam ucaptama sempena Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia ke-43 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Ketegasan itu dinyatakan susulan beberapa kes melibatkan isu integriti dalam kalangan anggota JKDM yang perlu dijadikan iktibar. 

Sementara itu JKDM perlu bersiap siaga dan selari dengan perubahan zaman serta perkembangan teknologi untuk menghadapi cabaran jenayah yang semakin kompleks. 

"Maka, kesiapsiagaan warga kastam pada hari ini haruslah selari dengan peredaran zaman yang semakin mencabar, kepesatan teknologi, dan keperluan untuk lebih kreatif dalam penguatkuasaan perlu menjadi keutamaan.

"Namun, saya cukup yakin dengan keupayaan tinggi pegawai dan anggota JKDM untuk membawa hasil yang lebih memberangsangkan kepada negara serta membanteras jenayah kontraban dengan lebih berkesan," katanya.

Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia ke-43 itu turut dihadiri Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI