
PUTRAJAYA, 2 Mac – Integriti dan semangat kerja berpasukan menjadi teras utama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam memastikan pengurusan khazanah negara kekal telus, berakauntabiliti dan mampan.
- Integriti wajib bagi setiap penjawat awam yang uruskan sumber asli, bukan pilihan.
- Ketelusan dan akauntabiliti pengurusan dana tidak boleh dikompromi demi kelestarian.
- Pecahkan tembok birokrasi; amalkan One Team, One Mission untuk kejayaan bersama.
- Perundangan dan inisiatif kelestarian (CCUS, Bandar Rendah Karbon, EFT) diperkasa sebagai pemacu ekonomi baru.
Menterinya Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menegaskan integriti bukan sekadar prinsip pentadbiran, sebaliknya kewajipan setiap penjawat awam yang menguruskan sumber asli negara.
“Sebagai penjawat awam yang menguruskan harta karun negara, integriti bukan satu pilihan, ia adalah kewajipan. Setiap keputusan hari ini memberi kesan kepada generasi akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar dan Apresiasi NRES 2026 di sini, hari ini.
Menurutnya, ketelusan dalam penguatkuasaan serta akauntabiliti pengurusan dana tidak boleh dikompromi dan warga kementerian perlu mengelak daripada menggadaikan kelestarian demi kepentingan jangka pendek.
Beliau turut menyeru agar tembok birokrasi antara jabatan dipecahkan supaya NRES bergerak sebagai satu pasukan padu berteraskan prinsip One Team, One Mission.
“Bekerja dalam kelompok sendiri adalah musuh kemajuan. Apabila satu jabatan berjaya, seluruh NRES berjaya. Apabila ada cabaran, kita harungi bersama,” tegasnya.
Datuk Seri Arthur turut berkongsi pencapaian NRES sepanjang tempoh Disember 2025 hingga Februari lalu, NRES telah melakar beberapa pencapaian strategik termasuk pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang menyaksikan kuasa pengurusan sisa terjadual diturunkan kepada Sabah dan Sarawak, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Selain itu, kementerian sedang merangka perundangan berkaitan Carbon Capture, Utilisation and Storage (CCUS) sebagai persediaan menghadapi perkembangan pasaran karbon global.
“Pendekatan itu mencerminkan peralihan strategi negara untuk menjadikan kelestarian sebagai pemacu ekonomi baharu, bukan sekadar komitmen dasar.
“Inisiatif Bandar Rendah Karbon juga diperkasa melalui penyelarasan semula kriteria hijau serta penggunaan teknologi pemantauan emisi yang lebih tepat dan berasaskan data,” jelasnya.
Tambah beliau, kerjasama Persekutuan dan negeri dalam pengurusan hutan serta biodiversiti diperkukuh menerusi mekanisme Ecological Fiscal Transfer (EFT) sebagai insentif kepada negeri yang mengekalkan kawasan sensitif alam sekitar.
Dalam majlis sama, Arthur merakamkan penghargaan kepada Ketua Setiausaha NRES, Ching Thoo a/l Kim yang bakal bersara pada 4 Mac selepas 31 tahun berkhidmat dan menyifatkan beliau sebagai tonggak penting dalam memperkukuh tadbir urus kementerian.