fb fb fb fb fb

Integriti asas pengukuhan perkhidmatan awam - KSN

FOTO FACEBOOK Shamsul Azri bin Abu Bakar

SEREMBAN, 21 Mac- Penjawat awam perlu memperkukuh semangat taat setia melalui pelbagai inisiatif termasuk latihan dan pembangunan diri bagi meningkatkan kemahiran serta profesionalisme, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata sekiranya taat setia itu digabungkan bersama integriti, keterbukaan dan kecekapan, perkhidmatan awam negara akan menjadi lebih efektif serta relevan dalam memenuhi keperluan rakyat.

Menurutnya, penghayatan nilai integriti dapat menghindari gejala yang merosakkan sistem pentadbiran negara dan memastikan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan terus terpelihara.

"Saban hari kita lihat di media sosial, banyak isu berkaitan penguatkuasaan dibangkitkan. Jika tiada integriti dalam menjaga sempadan negara, ia boleh terjejas dan mengancam keselamatan serta kedaulatan negara," katanya dalam Program Jelajah Taat Setia MADANI Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban di sini hari ini.

Program anjuran Akademik Kenegaraan Malaysia (AKM) itu turut mendapat kerjasama Pejabat Perdana Menteri, Pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN) serta Kerajaan Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan menjadi negeri pertama bagi siri Jelajah Taat Setia MADANI Penjawat Awam, yang dihadiri lebih seribu penjawat awam persekutuan dari seluruh negeri.

Turut diadakan dalam program itu adalah pelancaran Pekeliling AM Jabatan Perdana Menteri Bil. 1 Tahun 2025 bertajuk "Pembudayaan Amalan Patriotisme dan Taat Setia Penjawat Awam".

SITI AISHAH MD ISA