fb fb fb fb fb

Institusi Penjara Sarawak rekod pencapaian paling signifikan

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

PADAWAN, 2 Mac- Institusi Penjara Sarawak merekodkan pencapaian paling signifikan dengan kadar kesesakan sebanyak negatif 13.2 peratus berbanding 20 peratus standard antarabangsa sekali gus melayakkan institusi itu dinobatkan sebagai penerima Anugerah Penjara Negeri Cemerlang 2023.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peratusan itu merupakan salah satu daripada empat indikator kunci prestasi kecemerlangan dalam usaha meningkatkan pengurusan dan kecekapan dalam sistem penjara.

Kecemerlangan tersebut juga menjadi faktor utama pemilihan Sarawak sebagai lokasi sambutan Hari Penjara ke-234 yang berlangsung di Kompleks Penjara Puncak Borneo di Padawan.

"Institusi itu juga merekodkan kadar residivis yang rendah dengan 12.7 peratus berbanding 20 peratus standard antarabangsa. Ia menunjukkan keberhasilan dalam memulihkan dan mengintegrasikan banduan ke dalam masyarakat.

"Sarawak juga mencatat kadar reman yang hanya sebanyak 13.5 peratus berbanding 20 peratus peringkat antarabangsa menunjukkan keberkesanan dalam menangani isu remand an mengurangkan jumlah banduan y ang ditahan sebelum dibicarakan.

"Kadar pemenjaraan dengan 119 banduan bagi setiap 100,000 penduduk, Institusi Penjara Sarawak berjaya mengekalkan kadar yang lebih rendah berbanding standard antarabangsa 145 banduan bagi setiap 100,000 penduduk, jelas menunjukkan kecekapan dalam pengurusan jenayah kerana hukuman penjara dijadikan pilihan terakhir penghukuman," katanya dalam sidang media selepas mewakili Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pada majlis perasmian Sambutan Hari Penjara Ke-234 di Kompleks Penjara Puncak Borneo hari ini.

Terdahulu, Fadillah dalam teks ucapan yang dibacakan Saifuddin berkata, kerajaan komited membantu Jabatan Penjara Malaysia melaksanakan reformasi koreksional bagi dalam membangunkan peradaban dalam kalangan prospek sambil membantu proses pemulihan mereka bersama masyarakat.

Inisiatif itu menjadikan institusi penjara sebagai Pusat Pembangunan Beradaban Budaya Kemanusiaan selain bertepatan dalam usaha kerajaan membina peradaban tinggi menerusi agenda Malaysia MADANI.

Dalam perkembangan lain kerajaan secara prinsip bersetuju untuk melaksanakan inisiatif Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) menerusi tahanan di rumah (home detention) kepada banduan dengan hukuman penjara empat tahun dan ke bawah.

Saifuddin berkata pelaksanaan itu melibatkan proses penelitian, kajian dan semakan peruntukan undang-undang mengenai pelaksanaan inisiatif tersebut telah dimulakan dan dipertanggungjawabkan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri.

Pelepasan secara prinsip itu diyakini dapat mengurangkan kesesakan penjara dan menyumbang kepada penjimatan kewangan kerajaan selain membantu mengurangkan kadar residivis.

Tahanan di rumah dicadangkan untuk dilaksanakan kepada banduan termasuk dalam kategori berpenyakit kronik, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan ibu mengandung. Ia dapat mengurangkan kesesakan penjara di negara ini yang kini berada pada kadar 10.7 peratus.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI