KUALA LUMPUR, 12 Disember- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru institusi pendidikan untuk memanfaatkan pameran yang mempamerkan budaya Melayu-Islam.
Gesaan itu turut ditujukan kepada Arkib Negara Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Perpustakaan Negara.
Beliau berkata, pameran 'Samudera Berbicara : Pembentukan Dunia Melayu-Islam' anjuran Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) berpotensi untuk mengenal lebih mendalam berkaitan perjalanan rantau Melayu menjadi pusat pertukaran intelektual global.
"Secara peribadi saya teruja dan saya sangat menggalakkan DBP untuk turut menjayakan pameran ini bukan sahaja Universiti Malaya (UM) tetapi universiti lain.
"Saya sarankan untuk mengambil usaha luar biasa kerana pameran ini bakal memberi gambaran menyeluruh tentang kefahaman perjalanan Islam di wilayah ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Majlis Perasmian Pameran 'Samudera Berbicara : Pembentukan Dunia Melayu-Islam' di ibu negara.
Pameran yang bermula pada 13 Disember hingga 15 Jun itu, turut menawarkan tarikan tersendiri bagi pengunjung untuk meneroka peralihan sejarah melalui pelbagai artifak, manuskrip dan karya seni.
Masyarakat juga akan didedahkan dengan pengetahuan peralihan budaya serta adat resam dunia Melayu selain memahami tentang perjalanan penyebaran pengaruh Islam.