fb fb fb fb fb

Insiden termakan racun: Keluarga harap mangsa segera pulih

Ahli keluarga dua kanak-kanak yang kritikal selepas termakan keropok yang mengandungi racun

KULIM, 8 Julai- Keluarga dua kanak-kanak yang kritikal selepas termakan keropok yang mengandungi racun, terkejut dan kesal dengan kejadian yang berlaku.

Menceritakan semula kronologi kejadian itu, Nenek mangsa, Saadiah Yaacob, 62 tahun berkata, sebelum kejadian, kedua-dua cucunya, Muhammad Akil Syauqi Abdul Rahman, 3 tahun dan adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2 tahun mengikut suaminya yang juga datuk mereka, Muhammad Nazar Abdullah, 53 tahun mencari lembu di kawasan berdekatan.

Kedua-dua kanak-kanak berkenaan kemudian pulang semula ke rumah dengan membawa dua bungkusan keropok sebelum masuk ke dalam bilik ibu mereka.

Manakala, Saadiah keluar ke kebun getah berdekatan.

Menurut Saadiah, menantunya yang juga ibu kepada dua kanak-kanak berkenaan memaklumkan kedua-dua cucunya itu menggelupur seperti diserang sawan, selain muntah-muntah sebelum dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan.

Dalam kenyataan media pagi tadi, Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan Mohd Azizul Mohd Khairi memaklumkan, dua kanak-kanak lelaki yang juga adik-beradik itu, kritikal selepas termakan keropok segera yang mengandungi racun tikus.

Kejadian berlaku di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim, semalam.

Beliau berkata kejadian di sedari ibu mangsa yang berusia 25 tahun kira-kira pukul 11.00 pagi selepas mendapati kedua-dua anaknya muntah dan mulut berbuih setelah termakan keropok segera yang mengandungi racun tikus.

Keropok berkenaan digantung oleh pekebun di dawai besi sekeliling pagar kebun bertujuan untuk memerangkap monyet.

Kedua-dua mangsa yang berasal dari Kampung Banggol Berangan, Labu Besar dibawa oleh ibu mereka ke Klinik Kesihatan Malau, sebelum dibawa ke Hospital Kulim untuk rawatan.

Hasil pemeriksaan pegawai perubatan Hospital Kulim mendapati bahawa kedua-dua mangsa berada dalam keadaan kritikal.

Kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk rawatan lanjut kira-kira pukul 7.30 malam.

Siasatan awal mendapati, kedua-dua mangsa telah mengambil dan memakan satu peket keropok segera yang tergantung di dawai besi pagar yang mengandungi racun bagi tujuan untuk perangkap monyet.

Siasatan lanjut masih diteruskan. Kes disiasat dibawah Seksyen 31 (1) (a) Akta 611 dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

BERITA BERKAITAN:
Dua kanak-kanak kritikal termakan keropok mengandungi racun tikus

ROSLINA BINTI DIN