CAMERON HIGHLANDS, 26 Januari- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi mangsa kejadian tanah runtuh di Kampung Raja, Cameron Highlands ditangguh pada pukul 7.00 malam tadi akibat hujan lebat.
Jelas Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Md Gezani Md Ghazi, SAR akan disambung esok pada pukul 7.00 pagi.
Katanya, hujan lebat menyebabkan cuaca buruk dan struktur tanah menjadi tidak selamat dan berisiko.
"Untuk hari ini kita akan berhenti sekejap sebab cuaca tidak mengizinkan.
"Bagaimanapun, malam ini kita akan mengatur balik strategi kita, kita akan berkumpul dan kita akan buat penyelarasan pasukan penyelamat, kemudian insya-Allah esok kita akan sambung kembali pencarian," katanya kepada pemberita di Pos Kawalan Bomba di sini petang tadi.
Terdahulu, dua daripada lima mangsa yang tertimbus berjaya ditemukan dan telah dibawa keluar dari kawasan runtuhan.
Pada kira-kira pukul 2.40 pagi tadi, lima warga Myanmar termasuk seorang wanita dikhuatiri tertimbus selepas dua rumah pekerja yang dihuni kesemua mangsa ditimbus dalam insiden tanah runtuh itu.
Artikel Berkaitan:
Operasi cari mangsa tanah runtuh diteruskan hingga 10.00 malam
Mayat kedua insiden tanah runtuh di Cameron Highlands ditemukan
Seorang maut, empat dikhuatiri tertimbus tanah runtuh di Cameron Highlands