PUTRAJAYA, 3 November - Kementerian Pengangkutan menubuhkan pasukan petugas khas (Special Taskforce) dan menggantung serta-merta operasi bas yang terlibat dalam insiden renjatan elektrik yang menyebabkan seorang remaja lelaki maut di Pulau Pinang, pada Jumaat lepas.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata pasukan petugas khas itu terdiri daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).
Beliau telah mengarahkan APAD untuk segera menghentikan operasi bas terlibat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh JPJ.
“Kementerian Pengangkutan memandang serius insiden renjatan elektrik yang meragut nyawa seorang remaja ketika beliau sedang mengecas telefon dalam bas ekspres.
"Pasukan petugas khas ini ditubuhkan untuk menyiasat punca kejadian tersebut bagi memastikan insiden seperti ini tidak berulang dan keselamatan penumpang sentiasa terjamin. Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Media pada Sabtu melaporkan bahawa seorang remaja lelaki, Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, maut akibat renjatan elektrik ketika cuba mengecas telefon bimbit di soket dalam sebuah bas ekspres di Penang Sentral, Pulau Pinang, sekitar pukul 6.10 petang.
Hasil pemeriksaan awal polis mendapati terdapat kesan melecur di jari sebelah kiri mangsa, yang disyaki berpunca daripada renjatan elektrik, dan penghujung kabel yang digunakan dilaporkan cair. Telefon bimbit mangsa juga didapati dalam keadaan panas.