fb fb fb fb fb

Insiden pokok tumbang, seorang lelaki maut

Dahan pokok tumbang ke atas landasan berhampiran Stesen Monorel Raja Chulan

KUALA LUMPUR, 7 Mei- Seorang lelaki disahkan meninggal dunia manakala seorang lagi berjaya diselamatkan anggota bomba susulan kejadian dahan pokok tumbang ke atas landasan berhampiran Stesen Monorel Raja Chulan pada pukul 2.20 petang tadi.

Mangsa yang meninggal disahkan pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala mangsa yang selamat hanya mengalami kecederaan.

Penolong Pengarah Operasi Negeri JBPM Kuala Lumpur PgKB I M. Fatta bin M. Amin dalam satu kenyataan berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menghantar 27 orang anggota lain-lain pangkat dan jentera ke tempat kejadian.

"Pasukan operasi terdiri daripada BBP Jalan Hang Tuah bersama tiga balai bantuan, BBP Titiwangsa, BBP Jalan Tun Razak dan BBP Sentul bersama-sama jentera FRT-4 dan EMRS-4.

"Setibanya di lokasi kejadian, terdapat pokok besar tumbang di atas jalan raya melibatkan 17 buah kenderaan dan landasan monorel di sebelah atas telah dihalang dengan dahan-dahan pokok," katanya.

Sementara itu, Rapid Rail dalam satu kenyataan berkata, operasi laluan monorel dijangka mengalami gangguan perkhidmatan disebabkan kejadian berkenaan.

Susulan kejadian tersebut, tiada perkhidmatan antara Stesen KL Sentral dan Stesen Medan Tuanku.

Namu pihak operasi telah mengaktifkan perkhidmatan bas perantara dari KL Sentral ke Medan Tuanku serta perkhidmatan tren antara Titiwangsa dan Medan Tuanku di Platform 1.

"Pihak Rapid KL sedang bekerjasama dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyelesaikan gangguan tersebut secepat mungkin.

"Buat masa ini anggota Polis dan Bomba sedang mengawal keadaan lalu lintas di tempat kejadian. Sebarang kemaskini akan dimaklumkan secara berkala menerusi saluran media sosial dan aplikasi PULSE," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI