Insiden letupan: KPT arah universiti laksana pemeriksaan keselamatan segera

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Januari – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merakamkan ucapan takziah dan dukacita kepada keluarga seorang mangsa yang maut serta sembilan lagi yang cedera, termasuk empat pelajar, dalam insiden letupan semasa kerja-kerja penyelenggaraan sistem penyaman udara di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara, pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPT arah universiti jalankan pemeriksaan keselamatan segera ke atas semua kemudahan kampus.
  • Universiti diminta mendapatkan pengesahan keselamatan daripada pihak berkuasa sebelum menggunakan kawasan terjejas.
  • Universiti perlu sediakan sokongan kebajikan, termasuk perubatan dan sokongan psikososial kepada mangsa.
  • KPT tekankan pematuhan standard keselamatan, penyelenggaraan berkala dan kerjasama dengan agensi berkaitan.

Menurut KPT, sebagai tindakan susulan, kementerian telah mengarahkan pihak universiti terlibat untuk menjalankan pemeriksaan keselamatan segera ke atas semua kemudahan kampus bagi memastikan kawasan yang terjejas disahkan selamat oleh pihak berkuasa sebelum digunakan.

“Pihak universiti turut diminta untuk menyediakan sokongan kebajikan termasuk perubatan dan psikososial kepada semua mangsa yang terlibat dalam insiden berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Dalam masa yang sama, KPT menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan tahap keselamatan dan kesejahteraan warga di semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) sentiasa terjamin melalui pematuhan standard keselamatan, penyelenggaraan berkala serta kerjasama dengan agensi berkaitan.

“Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut dan sebarang maklumat terkini berkaitan kejadian ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” tambah kenyataan itu.

KPT akan terus memantau perkembangan insiden tersebut dan tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan demi memastikan persekitaran kampus yang selamat dan kondusif supaya kesejahteraan warga pendidikan tinggi terus terjamin.