fb fb fb fb fb

Insiden lelaki ceroboh masjid, JAWI diarah teliti aspek keselamatan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar / Foto Facebook DatoSetiaDr.Naim

KUALA LUMPUR, 3 Januari-Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarah membuat siasatan rapi dan menilai semula prosedur operasi standard (SOP) semua masjid dan surau seliaannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, pihaknya juga akan meneliti semua aspek termasuk tahap keselamatan kawasan masjid bagi memastikan kejadian pesakit mental yang menceroboh sebuah masjid di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) tidak berulang.

"Tidak semua masjid di bawah pengawasan JAWI yang ada tahap keselamatan. Kita pun sedia maklum dekat TTDI itu kawasan elit. Jadi mungkin mereka ada kekuatan daripada sudut kewangan untuk adakan keselamatan.

"Tapi cuma persoalan yang timbul bagaimana pihak itu boleh terlepas masuk tanpa pengetahuan pengawasan daripada pihak keselamatan, yang itu saya kena tengok dahulu daripada sudut tersebut", katanya demikian selepas merasmikan Kompleks Akademik Kolej Universiti Antarabangsa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) – Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) di sini.

Tambahnya, laporan polis berhubung insiden berkenaan telah dibuat dan beliau turut mengarahkan Pengarah JAWI untuk membuat siasatan terutamanya dari aspek keselamatan masjid yang perlu ditambah baik.

Beliau menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang provokasi terutama membabitkan rumah ibadat dan serahkan isu ini kepada pihak polis bagi menjalankan siasatan.

Terdahulu, seorang lelaki disyaki mengalami gangguan mental dilaporkan menceroboh sebuah masjid di Taman Tun Dr Ismail.

Kejadian yang dipercayai berlaku sebelum solat Subuh itu tular dalam satu rakaman video berdurasi 2 minit 46 saat menerusi laman media sosial Facebook.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD