fb fb fb fb fb

Insentif khas kepada syarikat, stabilkan bekalan minyak masak botol

Minyak masak botol/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Mac- Kerajaan mempertimbang pemberian insentif khas kepada syarikat pembungkus minyak masak kemasan botol untuk memastikan mereka segera mengeluarkan bekalan minyak dalam pasaran, sekali gus memulihkan gangguan bekalan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, susulan itu pihaknya akan mengarahkan syarikat pembungkus minyak masak kemasan botol, mengembalikan pengeluaran pada kadar mencukupi untuk keperluan semasa.

“Pada masa sama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mempertingkatkan penguatkuasaan untuk memastikan tidak ada aktiviti penyorokan (hoarding) dan penyelewengan semua jenis bekalan minyak masak," jelas Armizan selepas taklimat khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung situasi gangguan bekalan minyak masak sawit tulen kemasan botol dalam pasaran.

Selain itu, KPDN juga akan memastikan arahan dan keputusan hari ini dilaksanakan untuk memastikan syarikat terlibat mula meningkatkan semula kadar proses pengeluaran minyak kemasan botol masing-masing secara serta-merta untuk membolehkan kembali stabil segera dalam masa terdekat.

Beliau turut menyatakan KPDN amat menghargai keprihatinan dan keputusan segera Perdana Menteri yang mempertimbangkan serta-merta peruntukan insentif khas kepada syarikat pembungkus minyak masak kemasan botol.

Langkah itu akan memastikan rakyat mendapat bekalan minyak masak kemasan botol yang stabil dalam pasaran khususnya sepanjang bulan Ramadan dan bulan Syawal.

Armizan turut menyatakan antara punca utama berlakunya gangguan bekalan adalah disebabkan kenaikan kos pengeluaran berikutan harga minyak sawit mentah dunia (crude palm oil - CPO) dalam pasaran telah meningkat tinggi sejak dua tahun lalu.

Bagi dua bulan pertama 2025 harga purata CPO adalah RM4,672.50 pada Januari dan RM4,759.00 pada bulan Februari.

Susulan daripada kesan harga tinggi CPO yang berlarutan, syarikat pembungkus minyak masak botol terpaksa mengambil pendekatan mengurangkan pengeluaran untuk mengawal kos pengeluaran kerana terikat dengan perintah penjualan harga kawalan maksimum minyak kemasan botol yang berkuat kuasa.

“Sebagai contoh, perintah tersebut mewajibkan penjualan pada peringkat runcit minyak kemasan botol 5 kilogram adalah pada kadar RM30.90 berbanding harga pasaran berdasarkan kadar CPO dunia iaitu RM36.16", kata Armizan.

ROSLINA BINTI DIN