Input industri jadi syarat utama sebelum program pengajian diluluskan – MQA

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Profesor Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran

KUALA LUMPUR, 12 Januari– Semua program pengajian yang ditawarkan oleh universiti di negara ini diwajibkan mengambil kira pandangan dan keperluan industri sebelum diluluskan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

RINGKASAN BERITA AI
  • MQA mewajibkan input industri untuk setiap program pengajian sebelum diluluskan.
  • Tujuan utama adalah memastikan graduan bersedia masuk pasaran kerja dan elak ketidakpadanan.
  • Jawatankuasa khas MQA dan JPT menyelia, menyemak program dan elakkan pertindihan IPT.
  • KPT sokong pendidikan sepanjang hayat melalui micro-credentials, kursus pendek dan APEL.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Profesor Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata dalam satu kenyataan berkata langkah itu bertujuan memastikan graduan bersedia memasuki pasaran kerja dan mengelakkan ketidakpadanan antara kelulusan akademik dan kehendak majikan.

Tambahnya, keperluan tersebut merupakan antara kriteria utama dalam penilaian dan kelulusan program pengajian.

“Kami mahu graduan yang keluar daripada universiti benar-benar bersedia untuk memasuki pasaran kerja, sebab itu MQA memastikan setiap program pengajian dibangunkan dengan pandangan daripada industri supaya apa yang dipelajari di kampus menepati kehendak majikan.”

“Semua program yang ditawarkan oleh institusi pendidikan tinggi (IPT) telah menerima input industri sebagai sebahagian daripada proses penilaian pihaknya,” kata kenyataan itu.

Beliau berkata MQA bersama Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) turut menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengawal selia serta menyemak program pengajian yang ditawarkan.

Jawatankuasa berkenaan bertanggungjawab memastikan program memenuhi keperluan industri dan mengelakkan pertindihan antara IPT.

Selain itu, CEO Fakulti yang dilantik Kementerian Pendidikan Tinggi turut membantu universiti merangka program baharu yang relevan dengan kehendak pasaran kerja, khususnya di universiti awam.

“Di samping itu, KPT yang diterajui Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir turut memberi penekanan kepada pendidikan sepanjang hayat dan pembelajaran fleksibel.

“Usaha tersebut dilaksanakan melalui pengembangan micro-credentials dan kursus kemahiran jangka pendek yang boleh digabungkan dalam Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) serta penawaran pengajian menerusi laluan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL).”

“Pendekatan ini bertujuan menyokong peningkatan kemahiran berterusan graduan selaras dengan perubahan teknologi dan keperluan ekonomi digital,” tambahnya.