fb fb fb fb fb

Inovasi baharu, tingkatkan dana wakaf - Na'im Mokhtar

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 8 Februari- Platform wakaf perlu diperbanyakkan untuk memudahkan masyarakat berwakaf dan meningkatkan dana.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar yang menekankan perkara tersebut juga berkata masih ramai umat Islam yang tidak mengetahui kebaikan berwakaf dan kebaikan takaful sebagai skim perlindungan.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya dalam kalangan umat Islam untuk mengambil peluang untuk menggandakan pahala masing-masing dalam kaedah berwakaf ini."

"Tidak ramai dalam kalangan umat Islam yang mengambil skim takaful. Saya mengambil peluang ini mengajak umat Islam untuk menjadikan skim takaful sebagai skim utama dalam perlindungan masing-masing," kata Na'im kepada pemberita dalam sidang media Majlis Pelancaran Produk Wakaf Takaful Ajwad kerjasama strategik antara Yayasan Waqaf Malaysia dan Hong Leong MSIG Takaful Berhad, di sini.

Menerusi produk itu, sebahagian daripada nilai wakaf akan disumbangkan ke Hong Leong MSIG Takaful bagi tujuan manfaat perlindungan.

Terdahulu, beliau turut menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Yayasan Waqaf Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan SPECTRE MD Sdn Bhd bagi program kerjasama agihan kebajikan dan kemanusiaan serta pembangunan ekosistem digital wakaf, Yayasan Waqaf Malaysia.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM