fb fb fb fb fb

Inisiatif Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir terima dua anugerah MBOR

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf (tengah)merasmikan seminar 'Vibrant Melaka: Creating a People-Centric Living Spaces' sempena sambutan ulang tahun pertama Program Santai@Banda Hilir dan sambutan setahun Zon Bebas Kenderaan (ZBK) di sini hari ini/ Foto: FB Ab Rauf Yusoh

MELAKA, 8 September- Pelaksanaan inisiatif Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir hilir menerima dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Record (MBOR).

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata dua pengiktirafan itu ialah 'First First Aid Station in a Car Free Zone' dan 'Longest Duration for Car Free Zone'.

Katanya, seramai 1.7 juta pengunjung direkodkan mengunjungi kawasan zon itu sepanjang setahun pelaksanaannya dengan purata 15,000 hingga 30,000 pengunjung setiap minggu.
 
"Kajian MBOR turut mengiktiraf kawasan berkenaan berjaya memberi sumbangan kepada alam sekitar dengan pengurangan pencemaran karbon dioksida selain membantu sosioekonomi peniaga.

“Dengan purata 100,000 pengunjung dan pelancong sebulan, menunjukkan indikator ekonomi baik kepada para peniaga yang berkait dengan sektor pelancongan sekali gus memberi pulangan baik kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan seminar 'Vibrant Melaka: Creating a People-Centric Living Spaces' sempena sambutan ulang tahun pertama Program Santai@Banda Hilir dan sambutan setahun Zon Bebas Kenderaan (ZBK) di sini hari ini.

Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin ; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman ; Setiausaha Kerajaan Melaka, Datuk Azhar Arshad dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) ,Datuk Shadan Othman.
 
Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, dengan sambutan menggalakkan yang diterima, kerajaan negeri dalam perancangan untuk menambah baik kawasan zon bebas kenderaan itu supaya lebih tersusun.

“Saya yakin, selaras hasrat kerajaan negeri menjadikan Melaka sebuah kota selamat dan mesra pelancong, langkah proaktif ini dilihat signifikan bagi meraikan pengunjung menikmati kebebasan suasana pelancongan tanpa kenderaan sekali gus mengurangkan risiko kemalangan,” katanya.
 
Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir dilaksanakan selama 55 jam bermula pukul 6 petang pada Jumaat hingga 1 pagi, Isnin.

ZEHRA BINTI ZAMBRI