Inisiatif ‘Rumah Bangsa’ terima sambutan menggalakkan bekas ahli UMNO

Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media pada Program Ihya Ramadhan Al Mubarak Tahun 1447H 2026M Parlimen Bagan Datuk di Dewan Dato Lope Hashim

BAGAN DATUK, 7 Mac -Sambutan daripada bekas ahli UMNO yang pernah dipecat atau digantung keahliannya untuk kembali menyertai parti itu bawah inisiatif “Rumah Bangsa” amat menggalakkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Khairy Jamaluddin menyatakan hasrat untuk kembali menyertai UMNO dan merancang pertemuan rasmi dengan Presiden parti.
  • Jawatankuasa Rumah Bangsa dipengerusikan Datuk Seri Khalid Nordin memastikan permohonan dibuat secara rasmi bagi mengelakkan isu masa hadapan.
  • UMNO menubuhkan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa pada PAU 2025 untuk menerima bekas ahli secara individu atau 'en bloc'.

Menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin antara yang menyatakan hasrat untuk kembali menyertai parti dan berhasrat mengadakan pertemuan secara rasmi.

“Ya, saya telah beberapa kali bertemu beliau dalam majlis, dan Insya-Allah secara rasmi beliau berhasrat untuk bertemu dengan saya. Seperti yang saya nyatakan dalam perjanjian mengenai Rumah Bangsa, kita menerima sesiapa sahaja, kecuali mungkin individu yang saya tidak kenal dan masih keras kepala,” katanya kepada pemberita selepas Program Ihya Ramadan Al-Mubarak 1447H/2026M Parlimen Kawasan Bagan Datuk di Dewan Dato’ Lope Hashim, di sini.

Beliau berkata, Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan Datuk Seri Khalid Nordin memastikan setiap permohonan dibuat secara rasmi agar tidak menimbulkan sebarang isu pada masa hadapan.

Pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 Januari lalu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid memaklumkan bahawa UMNO menubuhkan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa untuk menerima kembali mana-mana bekas ahli.

Penyertaan semula itu boleh dibuat secara individu atau ‘en bloc’.