Inisiatif Rakan Masjid x Rakan Muda Ramadan martabat institusi masjid

FOTO BERNAMA

PUTRAJAYA, 16 Februari – Inisiatif Rakan Masjid x Rakan Muda Ramadan dilaksanakan bagi mengiktiraf peranan masjid sebagai pusat ilmu, kerohanian dan institusi sosial inklusif dalam memperkukuh keharmonian masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif Rakan Masjid x Rakan Muda Ramadan memperkukuh masjid sebagai pusat ilmu, kerohanian dan institusi sosial inklusif.
  • Program diselaraskan KBS, JAKIM dan Jabatan Belia, fokus pembangunan belia seimbang dari segi sahsiah, rohani dan sosial.
  • Pelaksanaan melibatkan 15 negeri, 113 daerah dan lebih 20,000 peserta, termasuk acara Iftar MADANI bersama Perdana Menteri.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi menyokong agenda pembangunan belia secara holistik berteraskan nilai Malaysia MADANI.

Menurut beliau, pendekatan itu selari dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadikan masjid sebagai pusat transformasi belia yang lebih dinamik.

“Pelaksanaan inisiatif ini digerakkan menerusi jawatankuasa bersama KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negara bagi menyelaras aktiviti memakmurkan masjid serta melahirkan belia seimbang daripada aspek sahsiah, rohani dan sosial,” katanya

Beliau berkata demikian selepas majlis prapelancaran inisiatif itu yang disempurnakan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan di sini.

Program Rakan Muda Ramadan akan dilaksanakan di 15 negeri termasuk Labuan serta 113 daerah di seluruh negara; melibatkan lebih 20,000 peserta.

Sebagai acara kemuncak, program Iftar MADANI bersama Perdana Menteri akan diadakan pada 22 Februari ini dan dijangka menghimpunkan kira-kira 10,000 pengunjung.

Tambah Dr. Mohammed Taufiq, penglibatan belia daripada pelbagai kaum dan latar belakang membuktikan bahawa pendekatan inklusif mampu memperkukuh pembangunan rohani serta jati diri golongan muda negara.