fb fb fb fb fb

Inisiatif persidangan pembangunan semula Palestin disambut baik

Foto Reuters

KUALA LUMPUR, 11 Januari- Pengerusi Kaukus Palestin Parlimen Malaysia Syed Ibrahim Syed Noh menyambut baik inisiatif Jepun untuk menganjurkan persidangan mengenai kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) pada Julai depan.

Beliau dalam satu kenyataan memaklumkan persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyokong inisiatif berkenaan dan bersama-sama mempengerusikan mesyuarat menteri juga amat bermakna terutama dalam memastikan masa depan Palestin sebagai negara merdeka.

"Kerjasama sedemikian meskipun prasyarat ialah gencatan senjata dan penamatan perang, namun memberi isyarat optimistik bahawa kebijakan dan kerjasama antara negara tetap waras terkait pembelaan rakyat, kebebasan, keamanan dan keadilan sejagat," menurut kenyataan itu.

Beliau yang juga Pengerusi Kaukus Parlimen Asia Tenggara untuk Pembebasan Palestin mahu inisiatif lebih tangkas wajar digerakkan untuk menyingkirkan Israel daripada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Ia susulan kekejaman genosid dan amalan aparteid ke atas rakyat Palestin, pelanggaran keputusan ICJ dan resolusi PBB, serangan ke atas kakitangan PBB dan pengharaman aktiviti UNRWA.

"Sejajar dengan itu, saya berharap ASEAN dengan Malaysia sebagai pengerusinya tahun ini, akan turut memainkan peranan lebih aktif sebagai jambatan penghubung antara Asia Tenggara, Asia dan Asia Barat demi keamanan, kestabilan serantau dan kebebasan ekonomi seperti dinyatakan oleh Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba.

"Kekebalan negara pengganas Israel wajib ditembusi kerana hingga waktu ini, pembunuhan dan serangan ke atas Gaza, Lubnan dan Yaman masih berlaku setiap hari," tambah kenyataan itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI