fb fb fb fb fb

Inisiatif pengasingan kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya dilaksanakan berfasa, dua tahun

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said/BERNAMA

PUTRAJAYA, 2 April- Inisiatif pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan dilaksanakan secara berfasa selama dua tahun melalui kajian emprikal di tiga buah negara, iaitu Kanada, Australia dan United Kingdom.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pelaksanaan kajian ini telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada 31 Januari 2024.

Beliau berkata, kajian ini akan dipantau oleh dua jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Kajian Komparatif dan Jawatankuasa Teknikal.

"Keanggotaan Jawatankuasa Kajian Komparatif melibatkan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihanraya dan Reformasi Institusi, seorang wakil ahli Dewan Rakyat, masing-masing daripada blok Kerajaan dan blok Pembangkang serta agensi pusat seperti Kementerian Kewangan Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Awam", katanya menerusi kenyataan.

"Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Jabatan Peguam Negara akan menjadi urusetia bersama bagi kedua-dua Jawatankuasa ini.

"Kedua-dua jawatankuasa ini akan memastikan kajian emprikal ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh dengan mengambil kira pelaksanaan pengasingan di negara-negara lain serta pandangan pihak berkepentingan di dalam negara.

Kajian empirikal yang pertama akan diadakan di Kanada pada bulan Mei depan.

Ia antara lain akan melibatkan perjumpaan dengan Menteri Keadilan dan Peguam Negara Kanada iaitu Arif Virani Jawatankuasa Pilihan Khas dan Ketua Pengarah Pendakwa Kanada.

Tambah beliau, Perbincangan Meja Bulat dijangka akan diadakan di University Ottawa dengan penyertaan dan kerjasama Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya bersama-sama dengan pakar perundangan yang berkenaan.

Perbincangan di Kanada akan memfokuskan kajian empirikal secara terperinci dan mendapatkan keterangan secara terus mengenai model pengasingan terbaik yang diamalkan.

"Pelaksanaan kajian ini memperlihatkan bahawa Kerajaan MADANI akan terus kekal komited dalam agenda reformasi institusi yang akan memastikan tadbir urus negara yang lebih demokratik dipertingkatkan selaras dengan pentadbiran, sistem perundangan dan tatakelola yang baik", katanya.

ROSLINA BINTI DIN