fb fb fb fb fb

RTM proaktif hebah inisiatif, dasar kerajaan - Fahmi

Foto Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 11 Disember- Sebanyak RM165 juta diperuntuk kerajaaan menerusi Belanjawan 2024 bagi terus memperkukuh syarikat pemula dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengadaptasi teknologi digital dalam operasi perniagaan.

Menurut Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil, langkah komprehensif KKD itu dilakukan menerusi Geran Digital PMKS Madani.

"Geran ini diterajui Bank Simpanan Nasional (BSN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk menyokong PMKS mengadaptasi dalam perniagaan seharian mereka. MDEC bertanggungjawab mengenal pasti rakan digitalisasi untuk disenaraikan sebagai panel pembekal perkhidmatan. Sebanyak RM165 juta diperuntukkan bagi memperkukuhkan industri PMKS melalui inisiatif seperti geran digital, program 'Shop Malaysia Online' untuk perniagaan dalam talian, di samping pemerkasaan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di semua Dewan Undangan Negeri (DUN), " kata Fahmi ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Negara hari ini.

Jelas Fahmi, bagi initiatif 'Shop Malaysia Online' di bawah MDEC, RM40 juta telah diperuntukkan untuk bagi menggalakkan golongan peniaga kecil terutamanya dalam bidang makanan dan minuman untuk menjalankan perniagaan dari rumah.

Tambah Fahmi, sebanyak 7,097 laman web berunsur lucah disekat MCMC dari 2018 hingga 30 November berdasarkan pemantauan dan aduan diterima.

Pihaknya memandang serius iklan berkaitan seks termasuk lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Katanya, ia bukan sahaja bercanggah dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 tetapi boleh merosakkan akhlak rakyat.

"Dari 1 Januari hingga 30 November, sebanyak 599 kandungan berunsur lucah telah diturunkan. Paling banyak di Instagram sebanyak 107 kandungan manakala di Facebook terdapat 54 kandungan dan ada sejumlah yang lain," kata Fahmi.

Dalam pada itu, Fahmi berkata jabatan dan agensi di bawah KKD sentiasa proaktif dalam memastikan segala inisiatif dan dasar kerajaan termasuk subsidi kerajaan dihebahkan secara meluas menerusi penghasilan infografik sebagai salah satu penyaluran maklumat kepada rakyat.

Sebagai badan penyiaran rasmi kerajaan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) sentiasa memastikan inisiatif dan usaha yang dilaksanakan kerajaan sentiasa menjadi keutamaan dalam penyiarannya.

"Ini dibuktikan melalui pelbagai bentuk penerbitan di televisyen dan radio seperti promo, kapsul, vox pop, sketsa dan klip pendek atau Pesanan Khidmat Awam (PKA) berkaitan inisiatif kerajaan dan bentuk bantuan bidang pendidikan, keusahawanan dan lain-lain program atau peluang yang disediakan itu sampai kepada rakyat. Sepanjang 1 Januari hingga November 2023, pasukan penerbitan di stesen TV, radio dan media sosial rasmi RTM telah mengulang siar hampir 14,000 kali kapsul, promo, trailer, hantaran media sosial, PKA berkaitan subsidi yang disediakan kerajaan untuk rakyat. Ia diperhebat sebaik sahaja kerajaan membentangkan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu," kata Fahmi.

Tambah Fahmi, KKD dan agensi dibawahnya akan terus menggembleng semua platform penyiarannya untuk menyampaikan segala maklumat termasuk inisiatif dan subsidi yang disediakan oleh kerajaan.

Dalam pada itu, Fahmi berkata KKD melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sentiasa menyokong usaha pengembangan industri kreatif negara.

Oleh itu, kerajaan telah memperuntukkan RM90 juta di bawah inisiatif 'Film in Malaysia Incentive' (FIMI) yang bertujuan meningkatkan pelaburan luar ke dalam negara melalui aktiviti penggambaran filem dan pasca produksi yang menggunakan perkhidmatan syarikat kreatif tempatan Malaysia.

Peruntukan rebat FIMI itu dijangka bakal menjana sehingga RM500 juta melalui pelaburan dan perbelanjaan secara langsung dan tidak langsung daripada aktiviti penggambaran filem dan pasca produksi yang dilaksanakan di Malaysia.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM