BANGI, 13 Julai- Inisiatif Indeks Kesejahteraan Guru (IKG) bagi meraih data relevan berhubung isu dan cabaran serta intervensinya terhadap profesion guru, dijangka selesai pada Februari tahun hadapan.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, proses pembangunan IKG sedang giat berlangsung.
Cadangan domain yang terkandung dalam indeks itu telah pun dikenal pasti dan ia berdasarkan kepada profil kesejahteraan psikologi guru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta kajian-kajian akademik.
"Sesi-sesi libat urus akan diadakan dari semasa ke semasa bagi memperkukuh penetapan domain-domain yang bakal terkandung dalam indeks tersebut.
"Setelah proses fasa kutipan dan penganalisisan data sudah selesai, KPM akan umumkan IKG yang pertama semasa Sambutan Hari Guru tahun hadapan iaitu pada 16 Mei 2025," katanya ketika memberi ucaptama dalam Majlis Makan Malam Jubli Emas Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan di sini.