fb fb fb fb fb

Inisiatif Gelombang Padi, jamin bekalan BPT di pasaran

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup

KUALA LUMPUR, 4 April- Sehingga kini, kerajaan mencatatkan 2.28 juta tan metrik pengeluaran padi negara untuk kepentingan rakyat.

Dalam usaha memperkasakannya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah memperkenalkan Inisiatif Gelombang Padi dengan 12 program akan digerakkan pada tahun ini bagi mengangkat industri padi dan beras negara ke tahap lebih cekap.

Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, pihaknya yakin inisiatif ini dapat meningkatkan bekalan Beras Putih Tempatan (BPT) di pasaran menjelang tahun 2025.

"Kerajaan turut bersetuju agar semua kontrak kerajaan mengguna pakai sepenuhnya Beras Putih Import.

"Melalui kaedah ini, bekalan tambahan Beras Putih Tempatan sebanyak 20,000 tan metrik dapat diedarkan sepenuhnya di pasaran pada April 2024", katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Mustafa Musa dalam persidangan Dewan Negara.

Sehingga 26 Mac lalu, sebanyak 4.15 juta kampit Beras Putih Tempatan 10 kilogram dipasarkan ke seluruh Semenanjung Malaysia melalui Program Khas Beras Putih Tempatan yang mula dilaksana 15 September 2023.

ROSLINA BINTI DIN