Inisiatif ‘Cashless Society’ diperluas ke Melaka, Wilayah Persekutuan dan Johor

Inisiatif ‘Cashless Society’ diperluas, tingkat kepercayaan komuniti digital / RTM

CYBERJAYA, 6 Mac – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus memperkukuh agenda pendigitalan negara menerusi peluasan inisiatif Cashless Society ke Melaka, Wilayah Persekutuan dan Johor bagi memperkukuh kepercayaan digital serta memperkasakan komuniti dalam ekonomi tanpa tunai.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sesi meja bulat "Kepercayaan Digital dan Pemerkasaan Komuniti" menghimpunkan wakil agensi Persekutuan, negeri, industri dan komuniti untuk membincangkan inisiatif.
  • Sesi menjadi platform strategik untuk memperhalusi keselamatan siber, literasi digital, perlindungan pengguna dan pengukuhan keyakinan terhadap transaksi tanpa tunai.
  • Inisiatif Cashless Society dilancarkan 2023, berkembang ke 174 lokasi setakat 2025, menandakan komitmen MCMC memperkasakan komuniti digital.

Langkah itu dibincangkan menerusi sesi meja bulat bertemakan “Kepercayaan Digital dan Pemerkasaan Komuniti”, yang menghimpunkan wakil agensi Persekutuan dan negeri, pemain industri serta komuniti di Cyberjaya, baru-baru ini.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sesi berkenaan menjadi platform strategik untuk memperhalusi keutamaan dalam ekosistem digital termasuk keselamatan siber, literasi digital, perlindungan pengguna serta pengukuhan keyakinan masyarakat terhadap transaksi tanpa tunai.

“Disertai 70 wakil organisasi, Sesi Meja Bulat ini dijangka meningkatkan literasi dan kepercayaan digital, membina keyakinan awam serta membolehkan
komuniti luar bandar dan terpencil mengendali persekitaran digital dengan selamat, di samping menyelaraskan objektif dan jangkaan bagi Inisiatif Cashless Society Fasa 4 2026 bersama Pengurus NADI dan pihak berkepentingan,” menurut kenyataan itu.

Dilancarkan pada 2023 di 28 NADI, inisiatif Cashless Society bertujuan mempercepat penerimagunaan teknologi digital di peringkat akar umbi.

“Setakat tahun 2025, pelaksanaannya telah diperluas ke 174 lokasi di seluruh negara, mencerminkan komitmen berterusan MCMC dalam memperkasa komuniti digital,” jeas kenyataan itu lagi.

Bagi tempoh antara tahun 2023 sehingga 2025, inisiatif Cashless Society berjaya menarik penglibatan seramai 62,574 pengunjung, menghasilkan 26,022 transaksi tanpa tunai, melibatkan 4,572 pedagang digital baharu di premis digital serta melaksanakan 1,348 aktiviti kesedaran berasaskan empat tonggak utama program tersebut.