Inisiatif Belia 360 perkasa golongan belia secara holistik

Ahli Dewan Negara, Senator Dr Jufitri Joha / FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 26 Februari – Inisiatif Belia 360 diperkenalkan sebagai pendekatan menyeluruh dan bersepadu bagi memahami, menyokong serta memperkasa golongan belia di Malaysia secara lebih tepat, inklusif dan berkesan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif Belia 360 menawarkan pendekatan menyeluruh dan bersepadu untuk memperkasa golongan belia secara holistik.
  • Gabungan analitik data, teknologi digital mudah diakses dan jaringan pementoran membentuk ekosistem sokongan berimpak tinggi.
  • Sokongan AI Chatbot melalui WhatsApp memudahkan penglibatan belia tanpa perlu muat turun aplikasi tambahan.

Inisiatif berkenaan menggabungkan penggunaan analitik data, teknologi digital yang mudah diakses, jaringan pementoran serta sistem sokongan komuniti tempatan bagi memastikan pembangunan belia dilaksanakan secara holistik dan berimpak tinggi.

Menurut Ahli Dewan Negara, Senator Dr Jufitri Joha, Belia 360 bukan sekadar inisiatif pengumpulan data, sebaliknya merupakan ekosistem sokongan menyeluruh untuk golongan belia.

“Bagi memastikan penglibatan belia lebih meluas dan mudah, Belia 360 turut disokong oleh AI Chatbot. Kita menggunakan teknologi AI yang ringkas, mesra pengguna dan dekat dengan anak muda melalui aplikasi WhatsApp.

“Ini bermakna mereka tidak perlu memuat turun sebarang aplikasi tambahan kerana komunikasi boleh dilakukan secara langsung melalui WhatsApp,” katanya pada sidang media bersempena pelancaran Inisiatif Nasional Belia 360 di Pusat Media Bangunan Parlimen, hari ini.

Pelaksanaan Belia 360 menyasarlam liputan keseluruhan 222 kawasan Parlimen di seluruh negara dalam tempoh terdekat, bagi memastikan data cabaran belia yang dikumpulkan benar-benar mencerminkan realiti di semua wilayah termasuk bandar, luar bandar dan komuniti berisiko.