PUTRAJAYA, 27 Februari – Satu inisiatif baharu bagi membantu usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menerima pakai aspek pendigitalan dalam urusan perniagaan akan diumum pada penghujung Mac ini.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata pihaknya giat mendekati usahawan PMKS yang masih belum bersedia dengan penggunaan teknologi digital, terutama kecerdasan buatan (AI).
“Banyak program sedang dijalankan bagi meningkatkan kesedaran mengenai kesan teknologi baharu terhadap perniagaan mereka. PMKS perlu memahami bahawa teknologi ini mampu mengubah dan menaik taraf perniagaan mereka. Perkara ini sedang dikaji dan akan diumum pada akhir Mac,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Garis Panduan Pengadaptasian AI Sektor Awam, di sini.
Sementara itu, garis panduan yang dilancarkan menetapkan tujuh prinsip etika AI, termasuk privasi dan keselamatan data, ketelusan, akauntabiliti, kesaksamaan, keterangkuman, kebolehpercayaan serta ketahanan dan kelestarian.
Gobind turut memaklumkan garis panduan yang dibangunkan Jabatan Digital Negara (JDN) dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu akan diimplementasikan serta-merta, dengan pemantauan kepenggunaan dalam kalangan kakitangan awam dilapor kepada kementerian setiap tiga bulan.