fb fb fb fb fb

Inisiatif AET lonjak pendapatan pekebun kecil RISDA

Pengarah RISDA Kedah, Abdul Aziz Awang

PADANG TERAP, 21 Ogos - Seramai 1,804 usahawan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di Kedah berjaya mencapai purata pendapatan kira-kira RM3,500 sebulan impak daripada menyertai inisiatif program agromakanan, Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET).

Pengarah RISDA Kedah, Abdul Aziz Awang berkata inisiatif tersebut membantu pekebun kecil meningkatkan pendapatan selain sumber dari getah.

Beliau berkata, sebanyak RM3.4 juta diperuntuk menerusi AET RISDA Kedah tahun ini dan RM1.18 juta daripadanya telah disalurkan kepada 111 usahawan.

"Diharapkan semua pekebun kecil di seluruh negeri Kedah yang berkelayakan ataupun yang masih tidak faham lagi terus pergi ke stesen-stesen RISDA yang berhampiran untuk mendapatkan penerangan.

"Jika layak terus lah membuat permohonan demi untuk peningkatan sosio ekonomi pekebun kecil yang berada di luar bandar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Projek Agromakanan Pemprosesan Pallet Makanan Ternakan Kampung Kubang Kenyeng, di sini.

Sementara itu, beberapa usahawan RISDA menyifatkan bantuan yang disalurkan banyak membantu meningkatkan perusahaan dan pendapatan mereka.

"Terima kasih lah RISDA bagi bantuan kepada kita untuk menjana lebih pendapatan. Di kawasan Padang Terap ini permintaannya banyak, permulaan itu kita cuma jadi macam pemborong, dalam masa sama kita ada ternakan juga...jadi daripada situ kita mula lah untuk kaji macam mana hendak proses buat dedak lembu," kata pengusaha makanan ternakan, Adam Wong.

"RISDA bantu untuk mesin pembungkusan, selepas bantuan daripada RISDA ini, alhamdulillah pendapatan mencapai RM3,000 ke RM5,000 sebulan." kata usahawan pekasam, Zakiah Samsuri. 

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN