(Pempengaruh media sosial berusia 23 tahun dari Kuala Lumpur ditahan kerana menonton perlumbaan haram)
ALOR SETAR, 29 Jun - Pempengaruh media sosial antara 284 individu yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan pada malam Aidiladha di Jalan Pegawai di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, lelaki berusia 23 tahun dari Kuala Lumpur itu ditahan kerana menonton aktiviti permotoran haram di kawasan tersebut.
Dalam operasi yang bermula 11 malam hingga 3 pagi tadi semua penunggang terdiri daripada 281 lelaki dan tiga wanita termasuk 10 remaja bawah umur berusia antara 15 hingga 20 tahun.
"Sebanyak 50 motosikal dirampas. Kesemua individu itu dibebaskan dengan jaminan polis," katanya pada sidang media di Balai Polis Trafik Kota Setar, hari ini.
Ahmad Shukri berkata, sebanyak 194 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki lesen memandu, ubah suai motosikal haram, tiada cermin sisi, tiada insurans, cukai jalan tamat tempoh dan lesen tamat tempoh.
"Antaranya (47) tiada lesen memandu, nombor pendaftaran (40), ubah suai (25), cermin sisi (23) , tidak pamer pelekat 'P' dan 'L' (22), aksesori (17), tiada insuran (12), cukai jalan tamat tempoh (5) dan lesen tamat tempoh.
"Mereka akan dilepaskan selepas proses dokumentasi selesai dan bagi remaja bawah umur yang tidak mempunyai lesen, waris akan dipanggil dan saman akan dikeluarkan kepada pemilik motosikal," katanya.
Hadir sama, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh yang turut memberi nasihat kepada individu yang ditahan dalam operasi itu.