KUALA LUMPUR, 25 April- Inflasi Malaysia kekal 1.8 peratus pada Mac 2024 dengan mata indeks mencatatkan 132.2 berbanding 129.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), peningkatan 3.0 peratus berbanding 2.7 peratus pada Februari 2024 didorong oleh perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin turut berkata berhubung dengan inflasi di peringkat negeri, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional 1.8 peratus.
"Bagaimanapun, lima negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang, Sarawak, Pahang, Selangor dan Perlis.
"Kesemua negeri juga mencatatkan peningkatan inflasi makanan dan minuman.
"Antara kumpulan utama yang mencatatkan peningkatan secara bulanan adalah restoran dan perkhidmatan penginapan, penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan serta perumahan," katanya menerusi kenyataan.