(Foto BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 12 Jun- Industri sukan dan filem dilihat medium yang berupaya memupuk perpaduan dalam kalangan generasi muda.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menjelaskan penglibatan legenda dan atlet baharu yang terdiri daripada pelbagai kaum membawa mesej perjuangan mengharumkan nama negara dalam temasya sukan.
Tambahnya, selain sukan, industri perfileman juga mampu membantu memupuk perpaduan menerusi penerbitan filem berunsurkan kenegaraan dan patriotisme.
"Kita panggil mereka legenda ini sebagai ikon perpaduan. Baru-baru ini kita adakan pameran ikon perpaduan agar legenda ini dapat dipanjangkan kepada generasi baru. Selalu kita adakan muzium untuk legenda sukan atau jika sudah tiada, kita adakan memorial kepada mereka yang menjadi legenda ini. Kita tengok penerjun negara, Datuk Pandelela Rinong, kita menjadikan beliau ikon di kementerian ini," katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan berhubung keupayaan industri sukan dan filem memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat di sini.
(Foto BERNAMA)