fb fb fb fb fb

Industri mineral, NRES pastikan perlombongan nadir bumi secara lestari

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad

SUNGAI PETANI, 3 Julai - Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan memastikan operasi berkaitan industri mineral terutama perlombongan nadir bumi dilaksanakan secara lestari bagi mengelakkan sebarang pertikaian pada masa akan datang.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata penggunaan teknologi bersesuaian juga perlu dititikberatkan, di samping memastikan hasil mineral yang diperolehi dapat juga diproses di negara ini.

"Satu kertas kerja (berkaitan nadir bumi) akan dibawa oleh NRES ke Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN). Kita hendak pastikan pemetaan (kawasan), kita ada banyak kajian dan anggaran, tapi hendak tengok betul-betul mana lokasi sesuai untuk diekploitasi.

"Kita juga hendak pastikan bukan sahaja dapat hasil secara kasar bahan mentah itu, tapi dapat juga memproses hasil itu di negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Op Patuh Bersepadu Pemutihan Kawasan Pengoperasian Kitar Semula Secara Haram di kawasan perindustrian, di sini.

Beliau mengulas laporan mengenai enam kertas kerja baharu yang dipersetujui Mesyuarat Majlis Mineral Negara (MMN) Ketiga pada Selasa berkaitan beberapa dasar penting dan operasi berkaitan sektor mineral termasuk kerangka Dasar Mineral Negara.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN