fb fb fb fb fb

Industri kayu sumbang RM25.21 bilion kepada pendapatan eksport negara 2022

(Datuk Seri Fadillah Yusof melawat reruai pameran selepas Majlis Perasmian
Program ‘World Bamboo Day Malaysia 2023’ di Auditorium FRIM/BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 21 September- Industri perkayuan di Malaysia menyumbang sebanyak RM25.21 bilion kepada pendapatan eksport negara pada tahun lalu.

Ia menyaksikan peningkatan sebanyak 10.6% berbanding nilai eksport yang dicatat pada tahun 2021.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, daripada jumlah tersebut, nilai eksport produk buluh berjumlah RM14.46 juta, meningkat 66.1% berbanding tahun 2021 yang berjumlah RM8.7 juta.


(Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof)

"Sektor agrikomoditi masih merupakan penyumbang ke-2 terbesar kepada pendapatan eksport negara. Ini menunjukkan bahawa sektor ini mempunyai peranan yang besar dalam pembangunan sosio ekonomi negara.

"KPK sebagai peneraju sektor agrikomoditi akan terus memberi fokus untuk memantapkan lagi usaha-usaha pembangunan dan kemajuan sektor ini agar ia dapat mencapai sasaran yang telah ditetapkan", katanya.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, kementerian menerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) kini membangunkan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia 2021-2030.

Ia memfokuskan kepada lima teras termasuk pengukuhan dasar, inovasi dan strategi pemasaran dalam usaha mengekalkan industri buluh.

Beliau merasmikan Majlis Sambutan World Bamboo Day Malaysia Tahun 2023 di Kuala Lumpur.

Media Baharu