fb fb fb fb fb

Industri diminta tampil jayakan program STEM

Datuk Seri Aminuddin Harun/ BERNAMA

PORT DICKSON, 17 Oktober - Lebih banyak industri diminta tampil untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam menjayakan program berteraskan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Negeri Sembilan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, usaha ke arah inovasi dan pembelajaran berasaskan projek dengan kerjasama pelbagai pihak industri, mampu memupuk budaya pembelajaran yang dinamik.

Ini termasuk mempersiapkan murid menghadapi realiti dunia pekerjaan.

"Saya berharap kepada pihak industri di Port Dickson untuk sama turun bukan sahaja sebagai penaja kewangan, tetapi menunjukkan teknologi yang mereka ada.

"Mereka boleh tunjukkan apa yang ada untuk mueid dan pelajar di negarai ini serta institusi pendidikan," katanya.

Menurut beliau, pembangunan di Negeri Sembilan perlu dimanfaatkan oleh anak tempatan sendiri, sekali gus menjana peluang pekerjaan serta memperkukuh ekonomi negeri.

Datuk Seri Aminuddin yang Ahli Parlimen Port Dickson berkata beliau komited untuk melengkapkan setiap sekolah di kawasan itu dengan kemudahan digital bagi menggalakkan minat pelajar terhadap bidang STEM.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Festival Pendidikan Negeri Sembilan Moh Poie PD ! : STEM, TVET & Digital di sini, hari ini.

Festival yang berlangsung selama dua hari meriah dengan pelbagai pengisian menarik seperti pameran STEM, TVET & Digital, serta pertandingan dan persembahan pelajar. 

Sementara itu, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Intan Perdana, Nik Khadijah Mat Rashid berkata STEM merupakan satu bidang perlu dikuasai murid malah sekolah memainkan penting untuk memajukan bidang berkenaan.

"Festival kali ini saya lihat sangat meriah sebab tahun lepas saya tak dapat berpeluang untuk menyertai. Ia juga dimeriahkan dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk daripada pihak luar dan badan bukan kerajaan (NGO), " katanya.

Bagi pelajar SK Intan Perdana, Izzat Al-Haziq Ismail, program yang dianjurkan itu memberi peluang kepada pelajar untuk berdikari.

"Banyak pameran-pameran yang mengajar juga murid-murid tentang sains, matematik dan sebagainya," katanya.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID