fb fb fb fb fb

Individu ugut Nik Elin telah dikenal pasti - KP KL

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Februari- Identiti pemilik akaun media sosial yang menghantar ugutan bunuh kepada Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid telah dikenal pasti pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata satu kertas siasatan telah lengkap manakala dua lagi masih dalam siasatan.

"Kita telahpun buka tiga kertas siasatan. Satu telah lengkap dan ada dengan timbalan pendakwa raya manakala dua lagi dalam siasatan."

Dua lagi siasatan itu kita akan lengkapkan dalam masa terdekat dan edar kepada timbalan pendakwa raya," kata Datuk Allaudeen kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Polis Kuala Lumpur di ibu negara

Tambahnya, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, Nik Elin Zurina telah mencabar peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Dalam pada itu, semua pegawai dan anggota polis kontinjen Kuala Lumpur digesa untuk menjaga kesihatan terutama berat badan, supaya sentiasa berada dalam julat jisim indeks tubuh (BMI) ditetapkan pasukan.

Tambah Datuk Allaudeen, sekitar dua hingga tiga peratus daripada 10,000 anggotanya mengalami masalah berat badan.

Setakat ini, pihaknya tidak meletakkan garis masa buat anggota dan pegawai tetapi mengambil pendekatan ‘secepat mungkin’.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM